Galeri Reka Melayu

Artifak

Artifak: Ukiran

Kemampuan orang Melayu menghasilkan objek seni yang halus daripada bahan yang biasa iaitu kayu.  Jika kayu yang dinilai ianya tampak biasa namun dengan seni ukiran yang diaplikasikan kepada bahan tersebut akan terangkatlah martabat dan nilainya.

Bagi masyarakat melayu, hutan menjadi sumber utama, membekalkan berjenis-jenis kayu bagi tujuaan binaan rumah, produk kesenian termasuk ukiran, hiasan senjata seperti hulu dan sarung, perubatan daripada tumbuhan khusus dan haiwan liar.

Kayu balau, kayu cangal, kayu jelutong dan kayu merbau adalah antara jenis kayu yang kerap digunakan dalam seni pertukangan. Kayu-kayu ini berstruktur keras dan berdaya tahan tinggi terhadap cuaca mahupun serangga perosak seperti anai-anai dan juga kulat.

Kedatangan islam menyaksikan berlakunya transformasi motif reka bentuk dalaman ukiran kayu orang melayu, pertukaran dari bentuk simbolik figura tuhan-tuhan dan dewa-dewa agama lain kepada motif flora dan fauna. Bagi motif fauna kaedah penggayaan menukarkan keketaraan sifat figura binatang kepada bentuk tidak ketara dengan kaedah ukiran dan tidak mewakili mana-mana ciptaan alam. Motif-motif flora  kadangkala dibuat sama seperti semula jadi atau digunakan bentuk konfigura abstrak geometri bagi mengimbangkan dan memantapkan hasil ukiran. Di antara motif yang digukana bunga tampuk manggis, bunga keduduk, bunga tanjong, daun sireh, daun ati-ati, daun kiambang dan daun sulur gading.

Seorang pengukir kayu yang mahir telah dilengkapkan dengan sifat berketerampilan, berdisiplin, kesabaran yang tinggi, kreatif serta berpengetahuan. Pengukir meneliti alam penuh perihatin di samping menafsir lalu menghasilkan semula melalui ukiran dengan penuh ketepatan dan berkonsep.

Selain dapat dilihat pada hulu keris Melayu, seni ini banyak digunakan pada senibina  seperti istana, rumah dan masjid. Teknik ukiran adalah membuat lakaran, menebuk, memahat dasar, menyila/mengukir, mengahaluskan ukiran, membersih kan ukiran dan mengemas siap iaitu memeriksa mana-mana bahagian yang belum sempurna. Berikut adalah peralatan yang digunakan:

  1. Pahat
  2. Tukul kayu
  3. Gergaji
  4. Kikir

Artifak: Tikar

Tikar merupakan sejenis hamparan yang diperbuat daripada daun pandan (Pandanus odorifer) atau daun mengkuang (Pandanus artocarpus). Orang Melayu menggunakan tikar sebagai alas tempat duduk, tidur atau untuk tujuan yang lain. Kebijaksanaan dan kearifan orang Melayu dalam menganyam telah menghasilkan kepelbagaian reka bentuk dan corak tikar yang menarik. Kebanyakan corak ini dipengaruhi oleh konsep alam semula jadi seperti flora (cth; kelarai bunga cempaka & tampuk manggis), fauna (cth; kelarai jari kedidi & kepala gajah), nama manusia (cth; kelarai Cik Kedah & Mak Mek) dan bentuk geometri (cth; kelarai empat sebilik & bunga pecah lapan).

Kebolehan masyarakat Melayu dalam menghasilkan corak kelarai berilhamkan alam semula jadi mempamerkan kebijaksanaan dan kepintaran mereka dalam matematik. Berdasarkan pemerhatian ke atas corak tikar, terdapat pelbagai konsep matematik yang diterapkan dalam proses anyaman tikar sehingga menghasilkan corak atau bentuk tikar yang menarik. Dalam masa yang sama, ia menjadi bukti bahawa orang Melayu adalah merupakan bangsa yang cerdik dan mempunyai kearifannya yang tersendiri.

Artifak: Bubu

Reka bentuk peralatan penangkapan yang berfungsi untuk menangkap ikan berdasarkan kepada saiz bubu.

Artifak: Kain Batik, Kain Songket dan Kain Tenun.

Konsep pengulangan bagi menghasilkan corak pada tekstil merupakan konsep matematik yang diterjemahkan dalam tenunan kain. Di dalam teknologi ini, kain songket merupakan salah satu daripada inovasi konsep 3-dimensi bagi menghasilkan bentuk corak timbul yang dihasilkan melalui jalinan benang-benang emas atau perak.

Artifak: Kebak Laksa, Gobek, Seterika, Keris.

Teknologi tempa memaparkan kehebatan pengetahuan teknologi masyarakat melayu dalam menghasilkan peralatan berasaskan logam. Pelbagai kaedah digunakan seperti kaedah tuang bagi menghasilkan suatu rekaan berdasarkan kepada Teknik acuan. Campuran logam-logam bagi penghasilan logam aloi dalam pembuatan keris menunjukkan kebijaksanaan orang melayu dalam menghasilkan senjata yang utuh dan kuat.

Artifak: Destar, Pakaian, Ukiran khat pada kayu dan jam dan Kukur Kelapa.

Perkembangan inovasi masyarakat melayu kini dikembangkan kepada penghasilan busana, peralatan serta perhiasan yang menonjolkan ciri-ciri tradisional tetapi mempunyai nilai rekacipta dan inovasi. Nilai rekacipta dan inovasi di dalam busana, peralatan dan perhiasan ini jarang dibincangkan oleh masyarakat zaman kini.

“ Penakik pisau diraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang jadikan nyiru;
Air setitik jadikan laut,
Tanah sekepal jadikan gunung;
Alam terbentang jadikan guru.
"

TOP